May 12, 2010

Masih Kita (Episod 8)

Perlahan sekali hentak tiap langkah kaki Yen pada karpet biru yang terhampar sepanjang ruang pejabat para pensyarah itu. Degupan jantungnya jelas tidak pada kadar kebiasaan. Tidak henti-henti dia berdoa memohon dibukakan hati Dr Suliza untuk memberinya peluang sambil matanya melilau mencari bilik pensyarah subjek Animation Programming kelasnya itu.

Langkahnya terhenti terus. Matanya lekas mengekor kelibat wanita 40-an berbaju kurung kuning yang dicari-carinya. Kontras benar susuk tubuh Dr Suliza di atas hamparan karpet biru itu. Yen hanya menurut dengan langkah kecil, beberapa kaki dari belakang. Dia tahu Dr Suliza belum sedar kehadirannya, tapi dia tidak tahu bagaimana untuk menegur, bimbang dilabel kurang ajar andai tiba-tiba memanggil dari belakang. Cukuplah situasi nasibnya yang sedang kritikal umpama telur di hujung tanduk itu fikirnya.

Sejenak hilang si baju kurung kuning itu masuk ke dalam bilik pejabat, Yen berhenti sebentar betul-betul di hadapan pintu yang tertera "Dr Suliza Rahman". Dari celahan bidai yang tergantung di dinding kaca pejabat dia mengintai. Segalanya perlu berjalan lancar, tidak boleh ada cacat cela. Dia mengintai sekali lagi, ingin memastikan Dr Suliza tidak akan merasa terganggu dengan kedatangannya. Sebaik saja dia pasti pensyarahnya itu sudah duduk dan tampak tenang, dia menarik nafas dan lantas tangannya mengetuk pintu. Habis tiga kali ketukan baru dihembus nafasnya.

"Masuk," kedengaran suara Dr Suliza mempelawanya masuk ke dalam setelah menyedari seseorang sedang berdiri di hadapan pintu bilik pejabatnya. Samar-samar saja dari celahan bidai. Pensyarah yang baru pulang daripada makan tengahari itu segera memusingkan kerusi menghadapkan tubuhnya ke arah pintu, menantikan siapa gerangan yang datang melawat.

"Assalamulaikum, puan," sapa Yen sambil menolak pintu. Ketat saja mukanya, menampakkan kerisauannya mengagak nasibnya apabila melangkah keluar seketika nanti.

"Waalai.." sambutan salam Dr Suliza diganggu deringan telefon putih di sudut mejanya. Kedua-dua mereka segera menjeling ke arah sudut itu.

"...kummussalam. Sorry," sambung pensyarah wanita itu dengan tangan kanannya memberi isyarat seperti meminta Yen berhenti, sebelum ganggang telefonnya itu diangkat. Yen segera menghentikan langkahnya. Kaku dia berdiri di ruangan antara meja dan pintu pejabat itu, ingin menghampiri meja pun dia takut-takut. Terasa rimas tiba-tiba tubuhnya. Keningnya dapat merasakan aliran titis pertama peluh di dahinya. Kenapalah tepat-tepat pula sekarang ada orang telefon, bentak hatinya. Benarlah kata orang, kita hanya merancang, bahkan seteliti manapun, Tuhan yang menentukan. Bila ia perlu ataupun telah ditakdirkan untuk berlaku, ia tetap dan pasti akan berlaku - kun fayakun.

Apr 26, 2010

Masih Kita (Episod 7)

Sejurus saja Ajwad mengaminkan doanya, dia terus berpaling untuk bersalam dengan para makmumnya. Yen masih berdoa, lalu dia mengalihkan salamnya buat Kerol sambil tersenyum. Yen menekup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangan setelah selesai berdoa. Diam kaku sebentar tubuhnya sebelum dia mengangkat kepala dan menatap wajah sahabat-sahabatnya yang hanya senyum.

"Jangan risaulah, grad sama-sama punya, kan dah janji."

"Entah, kau ingat Dr Suliza tu sanggup ke nak bar kau? Best student dia kot."

Yen hanya memuncungkan mulut dan mengembungkan pipinya. Dia tidak tahu apa untuk dituturkan. Sedikit sebanyak tenang hatinya setelah solat dan mendengar pujukan prihatin dua sahabatnya itu walaupun sukar untuk dia meyakinkan hatinya sendiri bahawa Dr Suliza mungkin akan berlembut dengannya.

"Oit! Tak nak salam ke?" gertak Ajwad dengan tangannya dihulurkan pada Yen. Yen masih bingung, terkejut dia dengan tindakan Ajwad itu. Dia menggaru-garu kepala dan kemudian baru disambut salam temannya yang berkopiah kelabu itu. Kerol yang menyaksikan drama spontan itu langsung ketawa. Ajwad turut sama berdekah-dekah. Kasihan memanglah kasihan, sudah nama pun teman karib, tapi kelakuan Yen memang pelik benar, bingungnya melampau-lampau.

Rasanya dia sendiri pun tak faham kenapa Kerol dan Ajwad ketawa, masakan tidak, kening kirinya terangkat sambil mulutnya terlopong sedikit. Dia tidak dapat berfikir dengan waras untuk menghubungkan titik-titik punca, tambah bingung dia dengan dua temannya itu.

Apr 25, 2010

Masih Kita (Episod 6)

Matanya sudah merah, tapi ditenung juga dalam-dalam skrin komputer ribanya itu. Yen cuba sedaya upaya menangkis rasa mengantuk yang tidak henti-henti mengetuk pintu warasnya. Bingung sebenarnya. Dia hilang punca untuk berbuat apa. Fail Microsoft Word assignment Grafik Animasi dibiarkan saja terbuka tanpa ada niat untuk diteliti sedikitpun. Dia benar-benar risau. Kepalanya masih terbayang kejadian di kelas pagi semalam.

Dr Suliza bukan senang dibawa berunding, lewat 10 minit, kehadiran tidak akan diambil kira, walaupun masih terpulang kepada pelajar untuk terus pulang mahupun kekal di dalam dewan kuliah sepanjang ajarannya. Dengan sifat tegasnya, pesanan "See me in my office tomorrow" beliau umpama tali gantung. Yen gelisah, menyesal dengan kebodohan lampaunya, yang masih tersisa hingga waktu ini. Telah ditetapkan, setiap pelajar wajib menghadiri semua kuliah, kecuali kelonggaran sebanyak 3 kali maksimum tanpa cuti sakit. Ketiga-tiga peluang itu telah dia sia-siakan dalam masa hanya seminggu awal bulan lalu dek kerana kecewa berpisah dengan buah hatinya, Anis. Kini dia berdepan dengan risiko dilarang menduduki peperiksaan semester untuk subjek Dr Suliza itu, yang andai kata benar-benar berlaku, akan menghalang dia daripada menamatkan kursus ijazahnya tahun ini bersama rakan-rakan yang lain. Wajah ibu dan arwah ayahnya mula mencelah masuk dalam kabus mindanya. Bertambah bingung dia.

"Eh Yen, kau tak tidur lagi ke dari semalam? Hmm tenang-tenangkanlah dulu fikiran kau. Nanti cakap elok-elok dengan dia, mungkin dia faham, dia pun manusia jugak. Dahlah tu, jom Subuh. Ajwad dah tunggu tu. Haa si Fareez ni memang tak nak balik dah ke?" soal Kerol yang tiba-tiba masuk melihatkan pintu tidak tertutup rapat, apatah lagi berkunci. Dia meletakkan tangan kirinya di atas bahu Yen, menepuk-nepuk ingin melihat rakannya itu kembali bersemangat. Responnya lembam. Yen hanya mengeluh dan bingkas bangun tanpa sepatah kata. Kerol hanya mampu menggeleng kepala. Sebaik saja Yen meninggalkan bilik menuju ke tandas, dia pun turut beredar sama, terhincut-hincut masih.

Apr 23, 2010

Masih Kita (Episod 5)

Asyik dibuai langut, Yen terlelap seketika. Menggelupur dia sebaik saja terjaga melihat nombor-nombor digital "7.45" terpapar di skrin Nokia 6120 hitamnya. Tuala biru PLKN yang tergantung disambarnya sepantas kilat lalu bergegas ke bilik air. Mandi kerbau dia pagi itu mengejar waktu yang terbuang dek langut kosongnya tadi.

"Weh, tak siap lagi?!" tegur Kerol yang sudah siap sedia kemas berkemeja petak biru untuk ke kuliah, sedang dia baru saja membuka tudung deodorant. Ajwad pula menjengah kepala ke dalam bilik dengan sekeping roti Butterscotch diketap di bibir. Di luar, tangannya masih kelam-kabut menarik lebar mulut kasut agar dapat dimuatkan kakinya ke dalam. Yen menyuruh dua temannya itu beransur dahulu. Tak perlulah mereka lewat ke kelas semata-mata kerana menunggu dia seorang, dia bukan anak Sultan, fikirnya.

Selesai berpakaian, dia segera mengangkat beg galasnya dan meluru keluar. Tiba di tangga baru dia teringat rambutnya belum diurus, lantas dia bergegas kembali ke bilik. Kelam kabut dia mengejar masa, hinggakan ingin masukkan anak kunci pun menjadi masalah.

"Argh!" jeritnya puas sebaik pintu berjaya dibuka. Macam orang katalah, barang-barang ni, kalau waktu tak nak guna, ada saja di depan mata, tapi waktu penting bila nak guna, mulalah main nyorok-nyorok. Itulah juga yang berlaku dengan minyak rambutnya - tiada di rak. Sedar dia kini berada di bawah tekanan, dia berhenti seketika, menarik nafas panjang dan perlahan-lahan menghembuskannya. Dia memujuk diri agar bertenang. Padahal minyak rambut itu berada betul-betul di depannya, di atas meja. Kerollah yang guna semalam, lupa gamaknya dia untuk letak balik di atas rak.

Tanpa membuang masa, dia terus menyapu minyak rambut ke kepalanya. Dah tak banyak masa, lalu disikatnya ala kadar saja dan sekali lagi meluru keluar secepat mungkin. Dia terus berlari menuju Blok IT - tempat kuliahnya. Berpeluh sakan tubuhnya pagi itu. Tiba di depan pintu dewan kuliah, dia berhenti sebentar. Dikeluarkan telefon bimbitnya dari poket. Digit-digit tadi kini sudah berubah menjadi "8.13". Dilepaskan satu keluhan besar sebelum dia membetulkan baju dan mengesat peluh di sekitar wajah dan lengannya. Berdebar-debar dia mahu menolak pintu jingga besar itu. Apatah lagi, kedengaran jelas suara Dr Suliza dari dalam. Kuliah sudah hampir suku selesai, dia yakin - pensyarah itu memang terkenal dengan ketepatan masanya ke kuliah. Gerak halkumnya jelas menunjukkan dia menelan air liur. Dia kerisauan. Akhirnya, perlahan-lahan, dia menggagahkan tangan kanannya menolak pintu gergasi itu.

Masih Kita (Episod 4)

Deringan jam loceng terlalu nyaring rasanya untuk hening Subuh itu. Si ayam jantan pun masih mamai, longlai menyusun langkah - berbeza sekali dengan tarian aktif jam loceng di atas meja Yen. Dia membuka sebelah mata, menjeling benci jam hadiah harijadinya itu. Keberatan, dia bangkit melutut di atas katil dengan mata yang hanya separa celik. Jam locengnya masih giat menari. Diperhatikan saja, seolah-olah menanti ia penat dan berhenti sendiri. Makin lama makin ke hujung meja ia bergerak dalam getaran.

"Pang!" diikuti dua bunyi hentakan kecil. Tersungkur jam itu ke lantai. Senyap sunyi seluruh bilik. Senyuman puas terlukis di wajah Yen. Serentak itu tubuhnya menggelungsur kembali merata di tilam empuk katilnya itu. Tak lama, tak sampai pun 5 saat, dia melompat bangun dari katil. Mengumpul kudrat membuka ikatan-ikatan malas syaitan rupa-rupanya.

Tombol pintunya dikuak, segera dia menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Seperti dipam keluar dari peti ais sahaja airnya. Menggeletar tubuh Yen menahan sejuk tiap kali bersentuh kulit dan air. Cepat-cepat dia keluar dari situ sesudah lengkap wudhuknya.

Dilempar langkahnya panjang melewati pintu biliknya sendiri. Tombol pintu yang tertampal kertas A4 bercetak "Kerol & Ajwad" dipulasnya, kemudian diketuk-ketuk pula pintu itu. Ketukan 3 kali diselang-selikan dengan laungan salam hinggalah pintu itu dibuka dari dalam. Berdiri satu susuk tidak berbaju di celah bukaan kecil pintu itu, sepet matanya cuba mengecam Yen. Ajwad masih bingung. Tambahan pula, teman sebilik Kerol itu tidak sempat memakai cermin mata.

"Subuh Subuh!" jerit Yen menyedarkan Ajwad, disambut nguapan panjang Kerol yang masih bertenggek di pinggir katil. Yen melangkah masuk dan segera membentangkan sejadah. Dia bersila sebentar di atas katil Ajwad, menanti kedua-dua penghuni bilik itu selesai berwudhuk.

Solat Subuh pagi itu diimamkan oleh Yen. Biasanya Ajwad yang menjadi imam, tapi dia masih mamai, belum terhapus penatnya menghadiri kem aktiviti lasak sepanjang hujung minggu itu. Selesai solat, ketiga-tiga mereka bersalaman. Ajwad yang mulai segar terus bertanya ke mana hilang seorang makmum biasanya; Fareez, teman sebilik Yen.

"Rumah," Yen menjawab ringkas. Fareez pulang ke rumah. Tiada kelas pada hari Isnin dalam jadualnya memberi dia cuti sehari lebih tiap kali hujung minggu. Lagipun, dia anak orang berada, kos pergi balik dari kampus ke rumahnya nun di Kulim umpama berapa puluh sen sahaja bagi dia. Ajwad hanya mengangguk. Jawapan yang sudah diduga, sekadar mahu mencipta perbualan. Semua kembali diam. Suasana itu berterusan untuk hampir 5 minit. Yen bingkas bangkit dan melipat sejadah. Dibawa pulang tubuhnya ke bilik. Dia berbaring di atas katil. Matanya merenung siling tanpa fikiran. Di kaki meja, jam locengnya masih terbujur kaku. Tidak berdetik dek kerana dua nyawa AAnya tercampak keluar.

"Relaxlah 5 minit lagi," keluh Yen seorang diri. Kelas menantinya di jam 8, hanya tinggal senggang 45 minit. Malas, rasa yang yang tak pernah lekang daripada jiwa penuntut jurusan Sistem Multimedia itu tiap kali hari Isnin menjengah tiba.

Apr 22, 2010

Masih Kita (Episod 3)

Selesai menyantap 'makan tengahari', mereka menyusun langkah pulang. Tiba-tiba saja tiada lagi kedengaran gelak tawa. Masing-masing hanya tunduk sepanjang perjalanan. Yen sedikit tertinggal di belakang dek langkah Kerol yang lebih besar lemparnya. Sebiji anak batu sesat di tengah jalan. Apalah dosanya disepak Yen. Tak diduga, melantun di belakang kaki Kerol.

"Aduh!". Segera dia berpaling ke arah Yen dengan sebelah tangan menggosok-gosok belakang kaki kirinya. Bibirnya diketap kemas. Geram. Yen mula mengundur sambil kedua-dua tapak tangannya dirapatkan seperti sami Buddha berdoa, cuba meminta maaf. Memang tak sengaja, tapi dia tak mampu menahan gelak melihat telatah Kerol menahan sakit. Mencarut-carut dibuatnya Kerol. Apa lagi, berkejaranlah dua sahabat itu.

Azan Asar berkumandang. Tersentak dua anak muda itu, segera saja mereka diam dan berhenti. Terus Yen melemparkan tangan kanannya ke belakang leher Kerol. Diajaknya temannya itu berjalan pulang ke bilik. Kembung pipinya menahan sisa gelak.

"Sakitlah, bodoh," bentak Kerol. Yen hanya mampu meletakkan jari telunjuk di depan muncung bibirnya, memujuk Kerol supaya diam, menghormati laungan ajakan solat yang masih bergema, sedang dia sendiri masih berusaha menahan sisa gelak. Kerol terus terhincut-hincut berjalan pulang menurut tolakan lembut tangan kanan Yen di balik lehernya. Masih terkumat-kamit mulutnya. Api marahnya yang belum habis, perlahan-lahan dihembus padam dek baris "Ayuh mengerjakan solat" azan Asar itu.

Apr 21, 2010

Masih Kita (Episod 2)

Masih lauk-lauk yang sama. Naik jemu sudah tiga tahun menelan rasa serupa saban hari. Sabar sajalah fikir dua teman akrab itu. Mak cik kafe pun tersenyum saja melihat gelagat mereka. Muka kecewa, namun tangan ligat memilih lauk santapan.

Jarum jam menuding nombor 4. Makan tengaharilah kononnya. Sudah menjadi kebiasaan mereka kebelakangan ini makan lewat. Belum sempat panas punggung berlabuh di kerusi, makan pun baru sesuap dua, tiba-tiba bahu Yen ditepuk. Terperanjat, nasi di sudu bertebar jatuh kembali ke dalam pinggan. Lantas dia berpaling. Sebatang tangan dihulur tidak jauh di depan mukanya, lalu disambut. Berjabat sepasang tangan. Kerol pula hanya mengangkat tangan menegur lelaki tersebut. Tersengih lagi.

"Baru makan jugak ke?" tanya Wan, teman sekelas mereka. Bersamanya, seorang gadis yang hanya tersipu-sipu senyum. Tampak kurang selesa, seakan-akan cuba menyorok di balik susuk teman lelakinya itu. Gadis itu namanya Anis - kena dengan wajahnya yang manis. Dia bekas teman wanita Yen, kerana itulah cukup kekok untuk dia berdepan dengan jejaka yang pernah menjadi tempatnya menumpang kasih.

"A'ah, malas berebut dengan orang ramai time lunch. Hehe," jawab Yen kepada Wan. Sempat dia mengerling sebentar wajah Anis namun dia terus cuba tidak menghiraukan kehadiran gadis itu. Pendek saja perbualan mereka kerana Wan dan Anis hanya mengangguk, senyum dan berlalu pergi, diakhiri dengan tepukan di bahu Yen sekali lagi.

Riak wajah Yen jelas berubah. Sudu hanya mengorek nasi, tidakpun disua ke mulut. Kerol tidak senang benar melihat temannya itu muram, lantas dia sengaja meletakkan sudu dan garfunya, dan berpeluk tubuh. Yen tersentak dengan bunyi sudu dan garfu Kerol yang melaga pinggan. Dipandangnya wajah malas Kerol. Dia cuba menyengih.

"Depan makanan pun nak sedih-sedih. Nasi ni boleh buat kau kenyang, tahu tak? Awek, kau tak boleh makan pun, faham?" Kerol kembali mengutip sudu dan garfunya, sambil Yen masih terkebil-kebil tersengih dan menyuap nasi ke mulut.

"Sabarlah," pujuk Kerol pendek.

"Haa kau tahu tak baru-baru ni aku nampak Ima..." sambung Kerol, cuba mengalih fikiran Yen. Sebentar saja, gelak-tawa dua sahabat itu tiba-tiba saja bergema di kafe. Mata-mata lain yang terkejut semua tertumpu di meja mereka. Masih ketawa, langsung tidak dihiraukan umat manusia di sekeliling. Sepasang lelaki asyik bergosip. Siapa cakap lelaki tak mengumpat? Terlupa sebentar sakit di hati Yen.