Apr 23, 2010

Masih Kita (Episod 4)

Deringan jam loceng terlalu nyaring rasanya untuk hening Subuh itu. Si ayam jantan pun masih mamai, longlai menyusun langkah - berbeza sekali dengan tarian aktif jam loceng di atas meja Yen. Dia membuka sebelah mata, menjeling benci jam hadiah harijadinya itu. Keberatan, dia bangkit melutut di atas katil dengan mata yang hanya separa celik. Jam locengnya masih giat menari. Diperhatikan saja, seolah-olah menanti ia penat dan berhenti sendiri. Makin lama makin ke hujung meja ia bergerak dalam getaran.

"Pang!" diikuti dua bunyi hentakan kecil. Tersungkur jam itu ke lantai. Senyap sunyi seluruh bilik. Senyuman puas terlukis di wajah Yen. Serentak itu tubuhnya menggelungsur kembali merata di tilam empuk katilnya itu. Tak lama, tak sampai pun 5 saat, dia melompat bangun dari katil. Mengumpul kudrat membuka ikatan-ikatan malas syaitan rupa-rupanya.

Tombol pintunya dikuak, segera dia menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Seperti dipam keluar dari peti ais sahaja airnya. Menggeletar tubuh Yen menahan sejuk tiap kali bersentuh kulit dan air. Cepat-cepat dia keluar dari situ sesudah lengkap wudhuknya.

Dilempar langkahnya panjang melewati pintu biliknya sendiri. Tombol pintu yang tertampal kertas A4 bercetak "Kerol & Ajwad" dipulasnya, kemudian diketuk-ketuk pula pintu itu. Ketukan 3 kali diselang-selikan dengan laungan salam hinggalah pintu itu dibuka dari dalam. Berdiri satu susuk tidak berbaju di celah bukaan kecil pintu itu, sepet matanya cuba mengecam Yen. Ajwad masih bingung. Tambahan pula, teman sebilik Kerol itu tidak sempat memakai cermin mata.

"Subuh Subuh!" jerit Yen menyedarkan Ajwad, disambut nguapan panjang Kerol yang masih bertenggek di pinggir katil. Yen melangkah masuk dan segera membentangkan sejadah. Dia bersila sebentar di atas katil Ajwad, menanti kedua-dua penghuni bilik itu selesai berwudhuk.

Solat Subuh pagi itu diimamkan oleh Yen. Biasanya Ajwad yang menjadi imam, tapi dia masih mamai, belum terhapus penatnya menghadiri kem aktiviti lasak sepanjang hujung minggu itu. Selesai solat, ketiga-tiga mereka bersalaman. Ajwad yang mulai segar terus bertanya ke mana hilang seorang makmum biasanya; Fareez, teman sebilik Yen.

"Rumah," Yen menjawab ringkas. Fareez pulang ke rumah. Tiada kelas pada hari Isnin dalam jadualnya memberi dia cuti sehari lebih tiap kali hujung minggu. Lagipun, dia anak orang berada, kos pergi balik dari kampus ke rumahnya nun di Kulim umpama berapa puluh sen sahaja bagi dia. Ajwad hanya mengangguk. Jawapan yang sudah diduga, sekadar mahu mencipta perbualan. Semua kembali diam. Suasana itu berterusan untuk hampir 5 minit. Yen bingkas bangkit dan melipat sejadah. Dibawa pulang tubuhnya ke bilik. Dia berbaring di atas katil. Matanya merenung siling tanpa fikiran. Di kaki meja, jam locengnya masih terbujur kaku. Tidak berdetik dek kerana dua nyawa AAnya tercampak keluar.

"Relaxlah 5 minit lagi," keluh Yen seorang diri. Kelas menantinya di jam 8, hanya tinggal senggang 45 minit. Malas, rasa yang yang tak pernah lekang daripada jiwa penuntut jurusan Sistem Multimedia itu tiap kali hari Isnin menjengah tiba.

0 comments: